Proses Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan :

Proses Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan :

Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah perlu dirancang dengan baik supaya proses P&P berkesan dan objektif pembelajaran tercapai dengan jayanya. Perkara ini boleh tercapai apabila seseorang guru itu menjalankan pengurusan kurikulum bilik darjah dengan berkesan. Dalam menentukan keberkesanan proses P&P, guru telah menerapkan pelbagai kaedah, strategi dan teknik pengajaran yang bersesuaian dengan pelajar.

Dalam abad ke-20, proses pengajaran di dalam bilik darjah lebih kepada menggunakan kaedah tradisional iaitu pembelajaran berpusatkan guru. Kaedah ini hanya melibatkan interaksi sehala di mana semua input hanya dikeluarkan oleh guru sahaja tanpa penglibatan sepenuhnya oleh pelajar. Antara strategi berpusatkan guru yang menarik adalah pengajaran mikro, kuliah, pengajaran secara kelas, demonstrasi dan sebagainya.

Tetapi dalam abad ke-21, proses pengajaran dan pembelajaran lebih kepada strategi pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Strategi ini menekankan lebih banyak peranan dan penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Perancangan guru sentiasa tertumpu pada faktor kerjasama, kebebasan bekerja, mengadakan aktiviti secara kumpulan, berpasangan dan sebagainya. Dalam proses P&P, pelajar perlu berinteraksi, bertukar-tukar pandangan dan terdorong untuk membuat keputusan yang berkesan. Contoh strategi yang digunakan adalah seperti pembelajaran koperatif, pembelajaran kolaboratif, sumbang saran, simulasi, main peranan, perbincangan dan sebagainya.

Teknik dan strategi yang digunakan oleh guru amat penting dalam memastikan pengurusan kurikulum bilik darjah yang baik seterusnya meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Proses P&P yang berkesan akan mendorong kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam akademik.


(i) Tingkah Laku Pelajar Terkawal

Tingkah laku pelajar sangat mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru di dalam bilik darjah. Bilik darjah yang berada dalam keadaan terkawal akan memudahkan guru meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan lancar. Melalui beberapa strategi dalam pengurusan kurikulum bilik darjah, disiplin dan tingkah laku pelajar akan lebih mudah untuk dikawal.

Tingkah laku pelajar boleh dikawal sekiranya guru tersebut mempunyai kemahiran pengawalan bilik darjah yang baik. Sebagai contoh, guru boleh mengadaptasikan teori pembelajaran behaviorisme dalam mengawal tingkah laku pelajar. Dalam teori pembelajaran behaviorisme, pelajar perlu diberi pengukuhan dan peneguhan yang bersesuaian sama ada positif atau negatif bergantung dengan tingkah laku pelajar tersebut. Menurut Kamarudin dan Siti (2004), pengukuhan adalah penting kerana ia merupakan alat untuk menentukan tingkah laku yang dikehendaki berlaku dengan baik. Dalam prinsip ini, sesuatu tingkah laku yang betul perlu diteguhkan oleh guru dengan cara memberi pengukuhan yang positif. Contoh pengukuhan positif adalah seperti pujian, mempamerkan keistimewaan, memberi pelajar pengiktirafan, memberi maklum balas yang memberangsangkan, memberi dorongan serta galakan, memberi hadiah dan sebagainya. Dengan adanya pengukuhan seperti ini, maka pelajar akan sentiasa mengekalkan tingkah laku yang diingini. Menurut Model (2005) dalam Hasani dan Johdi (2009), pelajar yang tidak pernah dipuji tentang tingkah laku mereka yang positif tidak akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk belajar. Jika pelajar melakukan tingkah laku yang tidak diingini pula, maka pelajar tersebut perlu diberikan peneguhan yang negatif seperti hukuman dan dendaan supaya mereka tidak mengulangi tingkah laku tersebut. Maka, jelaslah bahawa pengukuhan dan peneguhan amat penting dalam mengawal tingkah laku pelajar di dalam bilik darjah.


(ii) Motivasi Belajar Meningkat

Motivasi merupakan dorongan semula jadi yang wujud dalam diri manusia. Dalam proses pembelajaran, motivasi adalah unsur penting yang dapat membantu pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik mereka. Motivasi pelajar untuk belajar dapat ditingkatkan melalui pengurusan kurikulum bilik darjah yang berkesan. Aktiviti P&P yang menarik dan bersesuaian dengan gaya belajar serta jenis kecerdasan murid akan meningkatkan lagi minat mereka untuk mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah.

Menurut Teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner, terdapat sembilan jenis kecerdasan pelbagai pelajar. Jenis-jenis kecerdasan tersebut adalah seperti kecerdasan muzik, kecerdasan logik-matematik, kecerdasan naturalis, kecerdasan verbal linguistik, kecerdasan kinestetik, kecerdasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan ruang-visual, dan kecerdasan eksistensialisme. Jika seseorang guru tersebut menjalankan aktiviti yang pelbagai mengikut jenis kecerdasan pelajar di dalam bilik darjah, maka secara tidak langsung akan mengembangkan potensi pelajar seterusnya meningkatkan motivasi dalam diri pelajar tersebut untuk terus belajar.

Selain itu, penggunaan elemen rangsangan dan tindak balas akan dapat membantu meningkatkan minat dan motivasi pelajar selain menghasilkan pembelajaran yang lebih berkesan. Elemen-elemen ini bertindak sebagai daya penggerak dalam diri seseorang pelajar untuk terus belajar (Kamarudin dan Siti, 2004). Dalam proses P&P, pelbagai rangsangan boleh dicipta. Antaranya adalah seperti mempelbagaikan tingkah laku dan pola interaksi guru dan pelajar, mempelbagaikan pengalihan saluran deria, mempelbagaikan aktiviti, pendekatan, kaedah dan teknik, mempelbagaikan alat bantu mengajar dan sebagainya.

Bagi pelajar yang lemah atau berprestasi rendah, mereka perlu diberi perhatian oleh guru sewaktu proses pembelajaran dalam bilik darjah. Perhatian yang serius daripada guru terhadap golongan ini akan dapat mengatasi masalah pelajar kurang minat untuk belajar seterusnya dapat meningkatkan keinginan pelajar terbabit untuk melibatkan diri dalam aktiviti P&P.

(iii) Pembelajaran Menyeronokkan

Pembelajaran yang menyeronokkan akan meningkatkan keinginan pelajar untuk terus belajar ke arah mencapai keputusan akademik yang baik. Pelbagai aktiviti, teknik, kaedah dan pendekatan boleh digunakan oleh guru dalam menghasilkan satu suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Sebagai contoh, pembelajaran berasaskan teknologi dengan menggunakan alat bantu mengajar yang sesuai akan menghasilkan satu pembelajaran yang interaktif. Dalam abad ke-21, generasi Y lebih cenderung ke arah penggunaan teknologi. Guru harus mengambil kira perkara tersebut dan mengaplikasikan pengajaran berbantukan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar tidak bosan kerana dapat menerokai dunia teknologi sambil belajar. Untuk menghasilkan pembelajaran yang efektif, guru harus memastikan pelajar bersedia, aktif dan seronok sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Maka, jelaslah bahawa dengan adanya pengurusan kurikulum bilik darjah yang baik akan menghasilkan satu pembelajaran yang menyeronokkan.

(iv) Murid Lebih Inovatif dan Kreatif

Setiap pelajar mempunyai jenis kecerdasan masing-masing. Jadi, pelajar-pelajar ini ada potensi dan bakat tersendiri yang terpendam. Tugas guru adalah memastikan setiap potensi pelajar dikembangkan supaya mereka dapat menjadi modal insan yang baik dan kreatif.

Berdasarkan Teori Konstruktivisme, proses pengajaran dan pembelajaran berfokus kepada pelajar. Pelajar perlu bertindak aktif, berkolaborasi, bebas menyatakan pandangan dan pendapat masing-masing, meneroka sendiri sesuatu ilmu serta sentiasa berinteraksi dengan persekitaran. Pelbagai aktiviti, pendekatan kaedah dan teknik boleh digunakan antaranya seperti kognitif bersituasi, scaffolding, perantisan kognitif, tutoring, pembelajaran berasaskan projek atau project-based learning (PBL), pembelajaran berorientasikan penyelidikan dan sebagainya. Pendekatan-pendekatan ini pastinya akan dapat membangunkan dan mengembangkan kepelbagaian potensi pelajar. Dengan adanya pembelajaran berasaskan pengalaman, pelajar akan menjadi lebih inovatif, kreatif dan berkemahiran.

Comments

Popular posts from this blog

PENGENALAN