CIRI-CIRI GURU ABAD KE 21 :
Sebagai seorang penjaga, pendidik atau pekerja di era ini, kebanyakan dari kita memang tidak lari daripada ungkapan-ungkapan berhubung kemahiran abad ke-21 ini. Persekolahan kini harus diubah seiring dengan permintaan ekonomi terkini. Perubahan diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang yang banyak dipengaruhi oleh dunia yang dicorakkan oleh pembangunan teknologi. Pemikiran ini merujuk pada pandangan bahawa pembelajaran patut memanfaatkan teknologi untuk pedagogi terkini yang lebih prihatin kepada ciri-ciri pelajar sekarang. Bagi perkembangan individu dalam ekonomi digital, pelajar-pelajar memerlukan kemahiran abad digital. Perubahan pendidikan selari dengan abad ke-21 adalah penting untuk menyediakan pelajar untuk berhadapan dengan dunia di luar bilik darjah. Terdapat empat jenis kemahiran yang diberi tumpuan iaitu literasi digital (literasi maklumat), pemikiran kreativiti, kemahiran berfikir secara kompleks dan komunikasi interaktif. Jelas bahawa kebanyakan kemahiran abad ke-21 adalah berdasarkan kepada pendedahan terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis dan mengira, literasi abad ke-21 melibatkan literasi digital.
Literasi budaya dan kesedaran global turut menjadi tuntutan abad ke-21. Sememangnyalah literasi digital berhubung teknologi maklumat dan visual adalah menjurus kepada ICT. Dengan pengalaman menggunakan ICT, guru-guru dan pelajar boleh meningkatkan kemahiran tersebut. Literasi digital dalam konteks kemahiran abad ke-21 bermaksud keupayaan pengguna menggunakan kemahiran tersebut dengan cekap dan berkesan.
Ciri-Ciri Guru Abad Ke-21:
Peranan ICT akan memberikan cabaran besar terhadap profesion keguruan. Guru perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran menggantikan pendekatan konvensional yang kurang berasaskan inovasi teknologi. Untuk menerajui pendidikan pada masa akan hadapan, setiap guru perlu memahirkan diri dengan ICT. Strategi meningkatkan penggunaan ICT di sekolah bergantung kepada kemampuan pengetua dan guru-guru menguruskannya. Oleh itu, setiap guru mesti menguasai kemahiran ICT. Keterampilan dalam ICT adalah satu kriteria penting dalam sistem pendidikan abad ke-21. Pencarian maklumat melalui internet merupakan aset yang akan dapat menjayakan pendidikan pada masa akan datang.
Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga, kesedaran global di era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat. Pemikiran asas pencipta, kreativiti berfikir secara kompleks dan komunikasi interaktif tersedia luas dalam persekitaran digital. Walau bagaimanapun, guru haruslah berkemahiran menyediakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang memupuk daya kreativiti dan pemikiran kompleks. Guru-guru bukan sahaja setakat perlu memahami persekitaran digital tetapi mempunyai kemahiran untuk mengintegrasikan teknologi digital tersebut bersesuaian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Comments
Post a Comment