PENGENALAN

PENGENALAN :

Sekolah merupakan sebuah institusi yang diamanahkan oleh masyarakat untuk melahirkan insan yang berpekerti mulia, berpandangan futuristik serta sedia menjunjung aspirasi negara. Bagi membentuk insan seperi ini, pembelajaran hendaklah dirancang agar pengalaman yang berfaedah dapat dinikmati oleh setiap murid. Perancangan yang teliti perlu bagi menjamin perkembangan individu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Perancangan ini akan mengambil kira jenis aktiviti dan isi pelajaran yang patut dilalui oleh murid-murid agar mencapai objektif-objektif yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dengan kata lain, sesuatu kurikulum hendaklah disediakan dengan rapi agar dapat melahirkan insan yang harmonis dan seimbang.

1.1 Pengurusan Kurikulum Dan Pengurusan Bilik Darjah

Konsep Dan Pengertian Pengurusan Kurikulum

Menurut Kliebard (1982) kurikulum pada dasarnya berasal daripada perkataan „curerre‟ yang merupakan perkataan Latin membawa maksud jejak, laluan atau jurusan. Selain itu, kurikulum dalam bahasa Inggeris memberi maksud jelmaan. Panduan daripada kedua-dua perkataan ini menghasilkan „kurikulum‟ yang membawa maksud laluan dari satu peringkat ke satu peringkat. Dalam bidang pendidikan, pengertian kurikulum diperluaskan sebagai jurusan pengajian yang diikuti di sekolah. R.M. Gagne (1974) mendefinisikan kurikulum sebagai satu siri unit atau isi kandungan yang disusun sedemikian rupa supaya pembelajaran setiap satu unit dapat dicapai sebagai satu perlakuan sekiranya kebolehan yang ditentukan dalam unit sebelumnya telah dikuasai oleh pelajar atau pembelajar (dalam Kamarudin & Siti Hajar 2004:52).

Maksud kurikulum dapat diperjelaskan melalui beberapa definisi yang dikemukakan oleh pakar-pakar kurikulum, misalnya Saylor (1981) yang menyatakan kurikulum merupakan satu daya usaha institusi pendidikan yang menyeluruh untuk memenuhi tujuan yang diharapkan semasa berada dalam institusi itu. Manakala, Inlow (1973) berpendapat, kurikulum adalah satu daya usaha institusi pendidikan yang dirancang bagi membantu pelajar merujuk kepada tujuan yang telah ditetapkan. Nicholls S.H. dan Nicholls A. (1987) mentakrifkan kurikulum sebagai semua peluang pembelajaran yang dirancang oleh guru-guru untuk murid-murid di sekolah (dalam Mohd Daud & Koh Tsu Koon 1992). Kerr (2002) pula menyatakan kurikulum sebagai semua pembelajaran yang dirancang dan dibimbing oleh sekolah sama ada dilaksanakan secara kelompok atau individu, di dalam atau di luar sekolah (Dr. Ragbi Kaur 2005: 273). Manakala, Hirst (1974) pula menerangkan kurikulum sebagai satu program aktiviti yang disusun oleh guru untuk membolehkan murid-murid mencapai objektif yang telah dirancang dan David Warwick (1975) juga mentakrifkan kurikulum sebagai struktur terancang ideal-ideal sesebuah sekolah yang bersesuaian dengan keperluan-keperluan psikologi murid-murid, kemudahan-kemudahan yang sedia ada serta keperluan-keperluan budaya semasa.

Selain itu, Abdul Rahim (2007) mengatakan kurikulum merupakan pelan perancangan dalam pendidikan yang melihat dua perkara utama iaitu visi dalam pendidikan dan struktur atau organisasi asas dalam pendidikan. Menurut Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran 1979 (Kementerian Pendidikan, 1979) telah menyatakan kurikulum bermaksud segala rancangan pendidikan yang dikendalikan sesebuah sekolah atau institusi pelajaran untuk mencapai matlamat pendidikan. Kurikulum sekolah terbahagi kepada dua, iaitu kurikulum akademik (pengajaran dan pembelajaran) dan ko-kurikulum. Di samping itu, laporan tersebut mengatakan bahawa kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang membendung segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma. Unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diturunkan kepada ahli-ahlinya.

Razali Aroff (1991) pula, memberikan tiga takrifan kurikulum iaitu sesuatu yang luas dan besar meliputi segala pembelajaran yang berlaku di mana-mana di dalam kawasan sekolah,segala pembelajaran yang telah dirancang dan ditentukan sahaja yang berlaku dalam kawasan sekolah, di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah dan seterusnya kurikulum adalah sesuatu yang dirancang dan tidak terhad dalam bilik darjah sahaja.

Menurut Hassan Langgulung (1989) dalam „Falsafah Pendidikan Islam‟, Omar Al-Syaibani telah menjelaskan pengertian kurikulum dalam pendidikan Islam dengan merujuk kamus bahasa Arab ialah „manhaj‟ yang bermakna jalan yang terang atau jalan terang yang dilalui oleh manusia pada pelbagai bidang kehidupannya. Kurikulum „manhaj‟ dimaksudkan sebagai jalan terang yang dilalui oleh pendidik atau guru pelatih dengan orang-orang yang dididik atau dilatihnya untuk mengembangkan pengetahuan, keterampilan dan sikap mereka. Beliau juga menyatakan bahawa Addamardasy Sarhan dan Munir Kalam telah mendefinisikan kurikulum sebagai „sejumlah pengalaman pendidikan, budaya, sosial, olahraga dan seni yang disediakan oleh sekolah bagi murid-murid di dalam dan di luar sekolah dengan maksud menolongnya untuk berkembang menyeluruh dalam segala segi dan mengubah tingkah laku mereka sesuai dengan tujuan-tujuan pendidikan‟.

Tyler (1950) mendefinisikan kurikulum sebagai segala pembelajaran yang dirancang dan dibimbing oleh pihak sekolah sama ada dijalankan di dalam bilik darjah, di padang permainan atau dalam bahagian lain kehidupan pelajar. Menurut model Tyler, kurikulum boleh dibahagikan kepada empat komponen yang saling berkait iaitu objektif-objektif kurikulum, pengetahuan, pengalaman-pengalaman pembelajaran dan penilaian kurikulum. Perkaitan di antara komponen ini dapat digambarkan pada Rajah 1.1.


Nilai model kurikulum tersebut menunjukkan empat soalan asas yang digunakan dalam pembentukan sesuatu kurikulum baru iaitu;
  1. apakah objektif-objektifnya?

  2. apakah jenis kandungan yang digunakan?

  3. apakah pengalaman-pengalaman atau aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang harus

    disediakan?

  4. bagaimanakah hasilnya harus dinilai?

Setelah meneliti pelbagai jenis definisi yang diberikan, kurikulum bolehlah difahamkan sebagai rancangan yang merangkumi aktiviti akademik seperti mata pelajaran dan kursus dan kegiatan luar bilik darjah seperti kelab dan persatuan, unit beruniform serta sukan dan permainan. Kurikulum itu hendaklah mengandungi aktiviti-aktiviti sama ada akademik atau bukan akademik yang boleh membantu murid-murid mencapai perkembangan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pengalaman-pengalaman yang dirancang itu hendaklah selari dengan umur, kebolehan, minat dan kematangan. Biasanya, aktiviti-aktiviti akademik seperti mempelajari Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Kajian Tempatan dan Sains tergolong dalam kurikulum teras (core- curiculum). Manakala aktiviti-aktiviti bukan akademik seperti kegiatan kelab dan persatuan, unit beruniform serta sukan dan permainan dikenali sebagai kokurikulum.

Comments