JENIS - JENIS KOKURIKULUM :


Menurut Dr. Ragbir Kaur (2005), jenis kurikulum terdiri daripada kurikulum idea, kurikulum rasmi atau nyata, kurikulum formal, kurikulum tak formal atau tersembunyi dan ko-kurikulum.

a) Kurikulum Ideal

Kurikulum ideal ialah satu kurikulum yang digubal dan dibentuk berlandaskan teori-teori

ilmu pendidikan. Ia mengandungi komponen seperti;

  1. matlamat dan tujuan kurikulum

  2. sukatan pelajaran dan huraiannya

  3. bahan-bahan pelajaran termasuk buku panduan guru, sistem pelaksanaan dan penilaian kurikulum

Kurikulum ideal biasanya digunakan untuk membentuk kurikulum rasmi

b) Kurikulum Rasmi/Kurikulum Nyata

Kurikulum rasmi juga dikenali sebagai kurikulum nyata. Denis Lawton (1975) dalam buku Kamaruddin & Siti Hajar (2004) menyatakan bahawa kurikulum nyata atau kurikulum tersurat merupakan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak tertentu. Ia mematuhi peraturan, jadual waktu dan kegiatan kokurikulum yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Kurikulum nyata melibatkan segala bentuk aktiviti atau kegiatan sekolah sama ada di dalam atau di luar bilik darjah yang telah dirancang. Ciri nyata yang terdapat pada kurikulum jenis ini ialah ia sengaja dirancang dan tersurat iaitu terkandung dalam bahan yang telah dicetak dan boleh dibaca oleh semua orang. Kurikulum rasmi dibuat oleh pakar-pakar kurikulum di Kementerian Pendidikn Malaysia. Dua contoh kurikulum di Malaysia ialah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Kedua-dua kurikulum rasmi ini mengandungi aspek-aspek yang berikut;

  1. ilmu pengetahuan serta kemahiran

  2. nilai-nilai norma

  3. unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan masyarakat Malaysia


Ia terdiri daripada kurikulum formal dan kurikulum tak formal :


c) Kurikulum Formal

Kurikulum formal merangkumi kurikulum akademik yang dilaksanakan melalui kurikulum pengajaran dan kurikulum operasi. Kurikulum pengajaran ialah kurikulum formal mengikut pentafsiran guru sendiri manakala kurikulum formal operasi merujuk kepada kurikulum yang benar-benar dilaksanakan melalui proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah mengikut jadual waktu yang ditetapkan. Kurikulum formal terdiri daripada;
  1. isi pengajaran dan pembelajaran

  2. penilaian di dalam bilik darjah

  3. aktiviti-aktiviti ko-kurikulum


d) Kurikulum Tak Formal (Sembunyi)

Kurikulum tersembunyi meliputi segala pengalaman yang dipelajari secara tidak formal atau informal. Ia meliputi pembelajaran yang diperoleh daripada penerapan nilai-nilai murni melalui peniruan tingkah laku guru. Ia juga meliputi penerapan nilai-nilai murni melalui pelbagai mata pelajaran, peraturan sekolah, aktiviti bahasa dan budaya sekolah. Menurut James (1968), kurikulum tersembunyi lahir daripada sekolah sebagai satu organisasi iaitu apa sahaja pelajaran di sekolah yang diterima oleh pelajar di luar kurikulum yang nyata. Manakala, Sockett (1976) menganggap setiap sekolah ada kurikulum yang tersembunyi yang dimiliki oleh pelajar-pelajar sahaja, tidak rasmi, meliputi pelbagai aspek kehidupan sekolah, termasuk bahasa pertuturan, jenaka, permusuhan dan pertentangan antara mereka, sikap terhadap pelajaran dan permainan, terhadap guru dan lain-lain. Ini dikenali sebagai budaya atau iklim sekolah yang dikatakan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah sekolah.

e) Kokurikulum

Kokurikulum merujuk kepada aktiviti-aktiviti tambahan yang dijalankan selepas waktu pelajaran sekolah. Aktiviti ko-kurikulum merupakan sebahagian daripada kurikulum formal yang merangkumi aktiviti-aktiviti persatuan, kelab, permainan dan sukan serta unit beruniform yang dijalankan di luar bilik darjah. Ia tidak termasuk dalam jadual waktu pengajaran mata pelajaran sekolah. Aktiviti-aktiviti ko-kurikulum yang dipilih oleh pelajar mengikut masa lapang mereka.

Comments