KEKANGAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pendidikan, sekolah dan profesion keguruan di negara ini perlu memainkan peranan yang lebih ke hadapan bagi membentuk generasi muda yang celik komputer dan dapat merealisasikan dasar dan matlamat negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Namun terdapat juga beberapa kekangan dan cabaran penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan IT mempunyai hubungan yang signifikan dengan bidang pelbagai kecerdasan atau multiple-intelligence yang mencorakkan budaya pembelajaran yang tidak terikat kepada pembelajaran konvensional. Kecekapan dan kemahiran komputer dalam pembelajaran merupakan satu kebolehan yang dikaitkan dengan kecerdasan, perkembangan kognitif, kreativiti dan inovasi, reka cipta, reka bentuk, visual, pembelajaran maya dan sebagainya. IT juga merupakan bidang kecerdasan yang penting dalam era ICT. Tidak ramai para pendidik yang memanfaatkan internet sebagai satu alternatif yang menyediakan akses kepada pelbagai maklumat yang dapat membantu memantapkan bahan pengajaran dan pembelajaran.
Ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat terutama dari segi ekonomi, pendapatan, pendidikan, kemudahan infrastruktur, pemodenan dan sebagainya akan memberi kesan terhadap kemajuan ICT dan digital. Sekolah, pendidikan dan profesion keguruan di negara ini perlu memainkan peranan yang konstruktif bagi menangani jurang ICT dan digital yang berlaku, terutamanya di luar bandar dan di kalangan kaum. Sekolah dan profesion keguruan perlu memberikan perhatian serius bagi merapatkan jurang perbezaan ICT dan digital dengan meningkatkan program pendidikan ICT dan memperluaskan peluang menguasai pengetahuan dan kemahiran digital khususnya pelajar miskin dan luar bandar.
Kecanggihan kemudahan ICT yang terdapat di sekolah pada masa kini tidak seragam. Ada yang meletak komputer di dalam bilik darjah, ada juga yang meletakkan semua komputer di dalam makmal. Ada yang memiliki sambungan internet, ada yang tidak. Cabaran pada masa kini dan akan datang dalam sektor pendidikan ialah penyediaan prasarana komputer yang lengkap untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran tersebut. Walau bagaimanapun, penyediaan kemudahan mengakses internet sahaja tidak menjamin keberkesanan pembelajaran secara online. Sikap guru dan pelajar terhadap penggunaan teknologi tersebut perlu dipertimbangkan untuk memastikan keberkesanannya sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran.
Proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan internet memerlukan masa yang lama untuk dilayari dan diakses walaupun dari segi sikap mereka bersedia menggunakan komputer dalam pengajaran. Untuk membina, membangun dan mengintegrasi sumber-sumber multimedia agak sukar walaupun mempunyai kemahuan menggunakan teknologi dalam pengajaran, mempunyai kemahiran teknikal tetapi masa dan sumber yang terhad akan terus menjadi penghalang utama dalam dunia digital.
Terdapat sebahagian guru yang telah sebati dengan kaedah tradisional/konvensional dan sukar untuk membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional. Teknologi ICT memberi cabaran baru kepada profesion guru dan sistem pendidikan di sekolah menengah yang masih belum mengalami perubahan yang drastik dari segi pengadaptasian penggunaan teknologi ini.
Sumber pengetahuan utama abad ke-21 kelak merupakan sumber yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Dengan itu, kemudahan seperti komputer, multimedia, cakera padat dan internet perlu disediakan untuk digunakan oleh semua pelajar. Adalah diharapkan pengajaran dan pembelajaran pada abad ke-21 dibantu sepenuhnya oleh komputer. Ini bukan sahaja bertujuan menggantikan guru dengan penggunaan teknologi tetapi untuk menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan, berkesan dan lebih bermakna kepada pelajar. Jelas sekali bahawa pengurusan kurikulum abad ke-21 di kalangan pelajar dan guru memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah. Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan persekolahan dan kemahiran kurikulum bilik darjah abad ke-21.
Kesimpulannya, dunia tanpa sempadan ini memaksa industri pendidikan di Malaysia untuk melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang sangat pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka. Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan-peranan daripada pihak pendidik, ibu bapa dan perancang pendidikan perlu melihat isu-isu cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif.
Comments
Post a Comment